Belum ada pengalaman mengasuh? Jangan risau, kebanyakan pengasuh pun bermula di situ. Panduan ini tunjukkan cara dapatkan pengalaman bersama kanak-kanak, sediakan CV, bersedia untuk temu duga dan dapatkan kerja berbayar pertama anda. Ketahui cara memperkenalkan diri, menonjolkan kelebihan anda dan menarik perhatian ibu bapa dari hari pertama.
Nak jadi pengasuh, tapi tak ada pengalaman lagi? Rasa macam susah nak mula, kan? Jangan risau, kebanyakan pengasuh pun bermula di tempat yang sama. Mereka belum pernah dibayar untuk mengasuh, cuma memang minat meluangkan masa dengan kanak-kanak.
Jadi, bagaimana nak mula? Dalam panduan ini, kami kongsikan langkah-langkah untuk dapatkan kerja mengasuh pertama anda. Secara ringkas:
- Bina pengalaman dengan kanak-kanak yang anda kenal, seperti adik, sepupu atau anak-anak jiran
- Ambil kursus pertolongan cemas asas
- Tulis profil yang fokus pada kelebihan anda, bukan apa yang anda belum ada
- Hubungi keluarga melalui kenalan anda dan platform seperti Sitly
Cara Bina Pengalaman Bersama Kanak-Kanak
Semua pengasuh berpengalaman pun pernah bermula dengan kerja pertama. Ibu bapa faham, dan ramai yang cuma perlukan bantuan untuk perkara mudah: satu petang masa mereka keluar buat urusan, beberapa jam lepas sekolah, atau satu malam masa mereka keluar dekat-dekat saja. Inilah peluang yang sesuai untuk anda yang baru nak mula.
Berita baiknya, anda mungkin sudah ada lebih banyak pengalaman daripada yang anda sangka. Pernahkah anda:
- Jaga adik, sepupu atau anak jiran?
- Tolong jaga budak-budak semasa kenduri, atau tengok-tengokkan anak kawan sekejap?
- Hiburkan sepupu-sepupu anda semasa majlis keluarga, bukan dengan duduk tengok TV, tapi dengan aktiviti seperti bermain, membacakan buku atau buat kraf?
- Bantu ibu atau bapa menjaga anak-anak semasa mereka sibuk di rumah?
- Temankan kawan yang memang mengasuh dan turut membantu?
- Jadi sukarelawan di program cuti sekolah, pusat tuisyen, pasukan sukan kanak-kanak, kelas komuniti atau kelas agama, atau aktiviti membaca di perpustakaan?
Kalau anda jawab ya pada mana-mana soalan ni, maknanya anda sudah ada pengalaman sebenar dengan kanak-kanak. Semua itu dikira! Kalau belum, inilah cara yang baik untuk mula menambah pengalaman dalam CV anda.
Matlamatnya bukan nak reka-reka pengalaman yang tak ada, tapi nak bina pengalaman sikit demi sikit, kemudian perkenalkan diri dengan cara yang buat ibu bapa rasa yakin untuk beri anda peluang.
Dapatkan Sijil Pertolongan Cemas atau CPR Asas
Ibu bapa lebih tenang bila mereka pasti anda tahu apa yang perlu dilakukan dalam situasi kecemasan. Kursus pertolongan cemas dan CPR asas selalunya berpatutan, malah ada yang percuma. Cari kursus yang dianjurkan oleh organisasi seperti St John Ambulans Malaysia atau Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, atau tanya di kolej atau pusat komuniti berdekatan. Sijil ini sesuatu yang konkrit yang anda boleh terus nyatakan dalam profil anda. Ia juga menunjukkan kepada ibu bapa bahawa anda memandang serius tanggungjawab ini, walaupun belum ada pengalaman mengasuh.
Kenali Kelebihan Anda Sebagai Pengasuh
Sudah ada sedikit pengalaman dan sijil pertolongan cemas? Memang biasa rasa tak sabar nak terus hubungi ibu bapa. Tapi sebelum itu, ambil sedikit masa untuk fikir dengan jujur apa yang anda sedia tawarkan. Kerja mengasuh ada pelbagai jenis, jadi bila baru bermula, elok fokus pada situasi yang sesuai dengan anda.
Bayi dan anak kecil selalunya perlukan pengasuh yang lebih berpengalaman. Sebab itu, peluang pertama biasanya lebih senang didapati dengan kanak-kanak berumur lima tahun ke atas. Masa juga penting. Menjaga anak pada waktu petang semasa ibu bapa bekerja dari rumah sangat berbeza daripada menjaga tiga orang kanak-kanak seorang diri pada waktu malam.
Tanya diri anda dengan jujur: apa yang anda selesa buat? Boleh masak makanan ringkas? Bantu buat kerja sekolah? Hantar kanak-kanak ke mana-mana kalau perlu? Uruskan rutin tidur mereka? Kalau ada yang anda belum yakin, tak apa, tinggalkan dulu. Bila pengalaman anda bertambah, anda boleh ambil lebih banyak tugas.
Langkah Bijak untuk Dapatkan Kerja Mengasuh Pertama
Sudah bersedia? Jom mula cari peluang mengasuh pertama anda. Ini beberapa cara yang sesuai untuk anda yang baru bermula.
Mulakan dengan Orang Terdekat Anda
Rujukan daripada kenalan masih antara cara paling berkesan untuk dapat kerja mengasuh pertama. Kongsikan dengan keluarga, kawan-kawan dan jiran bahawa anda sedang mencari kerja mengasuh, dan tanya kalau mereka kenal ibu bapa yang perlukan bantuan. Cadangan daripada seseorang yang ibu bapa sudah percaya selalunya lebih bermakna daripada CV yang panjang. Ia mengurangkan rasa tidak pasti bila nak mengambil orang baru.
Tulis Profil Yang Tonjolkan Potensi Anda
Ramai ibu bapa kini mencari pengasuh dalam talian, jadi pastikan anda ada di situ juga. Di platform seperti Sitly, anda boleh buat profil dan hubungi keluarga berdekatan yang sedang mencari pengasuh. Tak payah tunggu orang terjumpa risalah anda! Selain itu, sertai kumpulan Facebook taman atau kawasan kejiranan anda, kerana ibu bapa sering berkongsi di situ bila mereka perlukan pengasuh.
Semasa menulis profil, elakkan ayat pembuka seperti “Saya belum ada pengalaman.” Mulakan dengan apa yang anda boleh tawarkan. Anda mungkin sudah ada kemahiran yang berguna untuk mengasuh:
- Kerja sambilan di kedai serbaneka atau F&B menunjukkan anda boleh bersabar dan tenang walaupun sibuk
- Menjaga adik atau sepupu, kerja sukarela atau mengajar tuisyen menunjukkan anda boleh memikul tanggungjawab
- Hobi seperti muzik, seni atau membuat kek memudahkan anda buat aktiviti yang menyeronokkan bersama kanak-kanak
Untuk lebih banyak tip, baca panduan kami tentang cara menulis iklan atau profil pengasuh.
Tawarkan Diri untuk Ganti Kawan yang Mengasuh
Ada kawan yang memang selalu mengasuh? Cuba tanya dia dan keluarga yang dijaganya, boleh tak anda gantikan dia bila dia ada hal nanti. Sebelum hari pertama, elok kalau anda pergi jumpa keluarga dan anak-anak mereka bersama kawan anda dulu. Jadi, bila tiba masanya, anda bukan lagi orang asing yang tiba-tiba muncul di depan pintu. Kawan anda boleh kongsi rutin harian di rumah itu, apa yang anak-anak suka buat, dan jawab apa saja yang anda nak tahu.
Lama-lama, bila keluarga itu dah selesa dengan anda, tawarkan diri untuk jadi pengasuh ganti mereka. Maksudnya, anda orang yang mereka boleh hubungi bila pengasuh tetap mereka sakit atau tak dapat datang. Dengan cara ini, anda dapat pengalaman sebenar sambil dibantu oleh seseorang yang sudah kenal keluarga itu dan rutin mereka.
Bersedia Untuk Temu Duga Pertama
Dapat kerja mengasuh pertama biasanya bermaksud anda juga perlu lalui temu duga pertama. Memang biasa rasa gementar bila nak jumpa keluarga buat kali pertama, lebih-lebih lagi kalau belum ada pengalaman untuk ditunjukkan. Jangan sorokkan hakikat yang anda masih baru. Berterus terang saja, kemudian fokuskan perbualan pada apa yang anda boleh tawarkan: kelebihan anda dan minat yang ikhlas untuk meluangkan masa dengan kanak-kanak.
Sebelum hari temu duga, cuba latih jawab beberapa soalan biasa. Lagi bagus kalau ada kawan atau ahli keluarga yang boleh berlakon jadi “ibu bapa”. Bila dah biasa sebut jawapan sendiri, anda akan rasa lebih yakin dan bercakap dengan lebih natural semasa temu duga sebenar. Nak tahu soalan apa yang selalu ditanya? Baca panduan kami tentang soalan temu duga pengasuh.
Ibu bapa hampir pasti akan minta rujukan. Sebagai pengasuh baru, mungkin anda belum ada rujukan daripada kerja mengasuh, jangan risau. Anda boleh minta kawan keluarga atau jiran yang pernah nampak anda bersama anak-anak mereka, walaupun sekadar tolong tengok-tengokkan, untuk jadi rujukan. Pernah kerja sambilan sebelum ini? Bekas majikan anda pun boleh jadi rujukan, kerana mereka tahu cara anda bekerja dan bagaimana anda menggalas tanggungjawab.
Tetapkan Kadar Bayaran Permulaan Yang Berpatutan
Sebagai pemula, memang wajar kalau anda tetapkan kadar sedikit rendah daripada purata di kawasan anda sementara anda kumpul pengalaman dan rujukan. Perlu diingat juga, kadar bayaran boleh berbeza mengikut tempat. Contohnya, kadar di Lembah Klang mungkin tidak sama dengan di bandar kecil. Tapi berpatutan tak bermakna anda perlu terima bayaran yang terlalu rendah. Baca panduan kami tentang kadar bayaran pengasuh atau cuba kalkulator kadar pengasuh kami untuk lihat kadar biasa di kawasan anda. Dengan cara ini, anda boleh tetapkan kadar yang anda rasa selesa.
Mula mengasuh tanpa pengalaman memang perlukan sedikit usaha tambahan, tapi bukan mustahil. Kumpul pengalaman sedikit demi sedikit, tunjukkan kepada ibu bapa apa yang anda boleh tawarkan, dan pastikan profil anda ada di tempat keluarga mencari pengasuh. Jadi, dah bersedia nak mula?
Isi kandungan
Soalan Lazim
Mulakan dengan dapatkan pengalaman bersama kanak-kanak yang anda sudah kenal, atau dalam aktiviti berkumpulan seperti program cuti sekolah atau pusat tuisyen. Kemudian, tulis profil yang menonjolkan kelebihan anda. Akhir sekali, hubungi keluarga melalui kenalan anda dan platform pengasuh.
Mulakan dengan orang sekeliling anda. Beritahu keluarga, kawan-kawan dan jiran bahawa anda sedang cari kerja mengasuh, kerana cadangan daripada kenalan sangat membantu bila anda belum ada pengalaman. Pada masa yang sama, buat profil di platform seperti Sitly supaya keluarga berdekatan boleh cari anda. Ada kawan yang mengasuh? Tawarkan diri untuk jadi pengganti bila dia tak dapat datang.
Anda tak perlukan rujukan formal untuk mula. Kawan keluarga atau jiran yang pernah nampak anda bersama anak-anak mereka, walaupun secara tidak rasmi, boleh jadi rujukan anda. Bekas majikan dari kerja lain pun boleh ceritakan cara anda bekerja dan bagaimana anda menggalas tanggungjawab.
Nak mula jadi pengasuh?
Dengan Sitly, anda tentukan kadar dan jadual sendiri. Cari kerja pengasuh yang fleksibel dan sesuai dengan anda. Keluarga berhampiran sedang mencari pengasuh — ambil langkah pertama hari ini.