Bersedia untuk bertemu keluarga baharu? Ketahui cara bersedia untuk temu duga pengasuh, daripada menjawab soalan biasa hinggalah bertanya kepada ibu bapa tentang anak mereka, lengkap dengan senarai semak ringkas untuk panduan anda.
Baru dapat panggilan temu duga pengasuh dan rasa sedikit gementar? Memang biasa rasa begitu. Jumpa keluarga baharu ialah saat penting bagi mana-mana pengasuh, dan cara terbaik untuk tenangkan diri ialah dengan buat persediaan awal.
Ini langkah-langkah yang anda perlu tahu:
- Kenali keluarga terlebih dahulu
- Jawab soalan yang biasa ditanya
- Tanya tentang anak mereka dan skop kerja
- Bincang kadar bayaran
- Pilih pakaian dan barang yang perlu dibawa
- Buat susulan selepas temu duga
Dengan sedikit persediaan, anda akan rasa lebih yakin untuk buat tanggapan pertama yang baik.
Kenali Keluarga Sebelum Temu Duga
Sama seperti temu duga kerja lain, lagi banyak anda tahu tentang keluarga itu, lagi lancar temu duga anda. Mulakan dengan iklan mereka. Dari situ, anda boleh tahu banyak perkara tentang anak-anak mereka dan apa yang mereka perlukan.
Kemudian, fikirkan bagaimana pengalaman anda boleh membantu keluarga itu. Kalau mereka ada anak kecil, sediakan satu cerita tentang masa anda menjaga anak kecil. Kalau mereka perlukan jagaan selepas sekolah, ingat kembali masa anda bantu buat kerja sekolah atau ambil kanak-kanak dari sekolah. Contoh-contoh ini memberi anda jawapan yang konkrit semasa temu duga. Ia juga menunjukkan kepada ibu bapa bahawa anda sudah perhatikan apa yang mereka perlukan.
Cara Jawab Soalan Biasa dalam Temu Duga Pengasuh
Ada soalan yang muncul dalam hampir setiap temu duga pengasuh. Kalau anda fikirkan jawapannya lebih awal, anda akan rasa lebih tenang dan yakin bila tiba masanya. Ini soalan yang paling kerap ditanya oleh ibu bapa, beserta tip untuk menjawabnya.
- Apa pengalaman anda dengan kanak-kanak?
- Sebut umur kanak-kanak yang pernah anda jaga dan berapa lama.
- Apa yang anda akan buat kalau berlaku kecemasan?
- Terangkan langkah anda: pastikan anak selamat, hubungi nombor kecemasan kalau perlu, kemudian hubungi ibu bapa. Sebut juga kalau anda ada sijil atau latihan pertolongan cemas atau CPR.
- Macam mana anda handle tantrum atau kelakuan nakal?
- Terangkan pendekatan yang tenang dan nyatakan bahawa anda akan ikut peraturan keluarga tersebut. Kongsikan satu contoh pengalaman sebenar kalau ada.
- Aktiviti apa yang anda akan buat dengan anak saya?
- Cadangkan dua atau tiga idea yang sesuai dengan umur anak. Senarai kami tentang permainan dalam rumah yang seronok untuk anak-anak boleh beri anda inspirasi.
- Bila anda boleh bekerja?
Jelaskan hari dan waktu anda dengan jujur, termasuk kalau ada peperiksaan atau kerja lain. - Kenapa anda berhenti kerja dengan keluarga sebelum ini?
- Jawab dengan jujur, tapi ringkaskan jawapan anda. Walaupun pengalaman itu sukar, elakkan bercakap buruk tentang keluarga sebelum ini.
Ingin tahu soalan lain yang mungkin ditanya? Baca artikel kami tentang soalan temu duga pengasuh.
Kalau Ini Temu Duga Pengasuh Pertama Anda
Pertama kali pergi temu duga pengasuh? Memang biasa kalau ada soalan yang anda tak tahu nak jawab, terutamanya soalan tentang pengalaman. Dalam situasi ini, fikirkan apa yang anda sudah ada: masa bersama adik-beradik, kerja sukarela, membantu di program cuti sekolah atau mengajar tuisyen. Semua itu dikira, jadi ceritakan dengan yakin.
Berterus terang tentang perkara yang belum pernah anda buat, dan tunjukkan yang anda memang bersedia untuk belajar. Cuba berlatih jawab soalan dengan kawan atau ahli keluarga dulu, supaya anda lebih selesa semasa temu duga sebenar. Untuk lebih banyak tip, baca panduan kami tentang cara menjadi pengasuh tanpa pengalaman.
Soalan untuk Anda Tanya Ibu Bapa semasa Temu Duga
Temu duga ialah proses dua hala. Ibu bapa nak tahu sama ada anda pengasuh yang sesuai untuk keluarga mereka, dan anda pun nak tahu sama ada keluarga itu sesuai untuk anda. Beberapa soalan tentang anak-anak mereka dan skop kerja boleh bantu anda buat keputusan.
Soalan tentang Anak
- Adakah anak anda mempunyai keperluan khas, alahan atau masalah kesihatan?
- Bagaimana reaksi anak anda terhadap orang baharu?
- Bolehkah anda gambarkan personaliti anak anda?
- Apa aktiviti kegemaran anak anda?
Kalau anda akan mengasuh pada waktu malam, tanya juga sama ada anak itu kerap terjaga dan sama ada dia mudah tidur.
Soalan tentang Skop Kerja
Kalau perkara ini tidak dibincangkan semasa temu duga, tanya ibu bapa apa lagi yang mereka harapkan selain menjaga anak. Contohnya, perlukah anda bantu buat kerja sekolah, sediakan makanan, atau uruskan pakaian dan cucian anak? Bila semuanya jelas dari awal, lebih mudah untuk elakkan salah faham nanti.
Tentukan Kadar Bayaran Anda Sebelum Temu Duga
Rasa segan nak cakap pasal duit? Itu memang biasa. Tapi soal bayaran akan dibincangkan dalam hampir setiap temu duga pengasuh. Kebanyakan ibu bapa akan tanya kadar anda, atau cadangkan kadar mereka sendiri untuk dibincangkan. Sebab itu, elok kalau anda dah fikirkan kadar anda sebelum temu duga.
Ambil kira pengalaman anda, bilangan kanak-kanak yang akan dijaga, dan tugasan tambahan seperti memasak atau mengambil kanak-kanak dari sekolah. Tak pasti nak caj berapa? Semak panduan kami tentang kadar bayaran pengasuh di Malaysia atau cuba kalkulator kadar pengasuh kami.
Dengan cara ini, anda ada alasan yang kukuh untuk kadar yang anda mahukan. Bila topik ini timbul nanti, anda boleh kongsikan kadar anda dengan selesa, tanpa perlu terangkan panjang lebar. Kalau keluarga itu ada bajet yang berbeza, tak apa. Bincang secara terbuka dan cuba capai persetujuan yang sesuai untuk kedua-dua pihak. Cuma, jangan turunkan kadar anda terlalu banyak kalau anda rasa kadar itu adil.
Apa yang Perlu Dibawa ke Temu Duga Pengasuh
Bawa satu salinan CV anda supaya boleh dikongsi kalau perlu. Hadkan kepada satu muka surat, dengan maklumat berikut:
- Butiran hubungan anda
- Pengalaman mengasuh kanak-kanak
- Sijil, seperti pertolongan cemas atau CPR
- Rujukan beserta nombor telefon
Maklumkan kepada rujukan anda bahawa mungkin ada keluarga yang akan menghubungi mereka. Baca lebih lanjut tentang cara menulis CV pengasuh.
Pilihan Pakaian semasa Temu Duga Pengasuh
Pakai baju yang bersih dan selesa, yang membolehkan anda bergerak dengan mudah. Mungkin anda akan berjumpa anak-anak mereka semasa temu duga, malah mungkin duduk bermain di lantai bersama mereka. Jadi, pilih gaya yang kemas tapi santai, tidak terlalu formal dan tidak terlalu kasual.
Sesetengah keluarga lebih suka buat pertemuan pertama melalui panggilan video. Kalau begitu, uji kamera dan sambungan internet anda terlebih dahulu. Pilih tempat yang sunyi dengan pencahayaan yang baik, dan buat persediaan sama seperti untuk temu duga bersemuka.
Apa yang Perlu Dibuat Selepas Temu Duga Pengasuh
Dah selesai temu duga? Jangan lupa hantar mesej terima kasih kepada keluarga itu, sebaik-baiknya pada hari yang sama. Mesej ringkas melalui WhatsApp pun sudah memadai. Ia menunjukkan bahawa anda memang berminat, dan memudahkan mereka ingat anda.
Kalau beberapa hari berlalu tanpa sebarang jawapan, jangan risau. Hantar mesej susulan yang mesra untuk bertanya khabar. Anda juga boleh tawarkan sesi percubaan, supaya keluarga itu dapat lihat sendiri cara anda bersama anak-anak mereka.
Senarai Semak Temu Duga Pengasuh Anda
Ini ringkasan semua tip dalam panduan ini. Simpan senarai ini dan semak semula sebelum temu duga anda yang seterusnya. Lebih bersedia, lebih yakin!
Sebelum Temu Duga
- Baca iklan keluarga dan catat butiran penting
- Sediakan jawapan untuk soalan yang biasa ditanya
- Sediakan beberapa soalan tentang anak mereka
- Tentukan kadar bayaran anda
- Bawa salinan CV anda
- Pilih pakaian yang praktikal
Semasa Temu Duga
- Datang tepat pada masanya
- Sapa anak-anak, bukan ibu bapa sahaja
- Tanya tentang anak mereka dan apa yang diharapkan daripada anda
- Kongsikan kadar bayaran anda dengan yakin
Selepas Temu Duga
- Hantar mesej terima kasih pada hari yang sama
- Hantar mesej susulan kalau belum ada jawapan selepas beberapa hari
- Tawarkan sesi percubaan
Bukan setiap temu duga akan berakhir dengan tawaran kerja, dan itu perkara biasa. Setiap temu duga menambah pengalaman anda dan menjadikan temu duga seterusnya lebih mudah. Bersedia untuk jumpa keluarga seterusnya? Buat profil anda di Sitly dan mula berhubung dengan ibu bapa di kawasan anda.
Isi kandungan
Soalan Lazim
Ia bergantung pada keluarga, tapi kebanyakan temu duga mengambil masa sekitar 30 minit hingga sejam. Peruntukkan sedikit masa tambahan, kalau ibu bapa mahu anda berkenalan dengan anak-anak mereka.
Kenali keluarga itu sebanyak mungkin, bermula dengan iklan mereka. Fikirkan cara anda menjawab soalan biasa, dan sediakan beberapa soalan anda sendiri tentang anak mereka dan skop kerja. Sebelum pergi, tentukan kadar bayaran anda, pilih pakaian yang praktikal dan bawa salinan CV beserta rujukan dan sijil anda.
Biasanya, ibu bapa akan tanya tentang pengalaman anda dengan kanak-kanak, kenapa anda minat mengasuh dan apa yang anda akan buat kalau berlaku kecemasan. Mereka juga mungkin tanya bagaimana anda tangani tantrum, aktiviti yang anda rancang, bila anda boleh bekerja dan kenapa anda berhenti mengasuh keluarga sebelum ini.
Nak mula jadi pengasuh?
Dengan Sitly, anda tentukan kadar dan jadual sendiri. Cari kerja pengasuh yang fleksibel dan sesuai dengan anda. Keluarga berhampiran sedang mencari pengasuh — ambil langkah pertama hari ini.