Kontrak pengasuh menetapkan jangkaan yang jelas tentang bayaran, waktu kerja dan tanggungjawab, serta merekodkan butiran praktikal yang sering menimbulkan salah faham kemudian hari. Dalam panduan ini, kami menerangkan semua yang perlu anda sertakan, cara menyusunnya bersama dan perkara yang perlu diambil kira sepanjang proses. Muat turun juga template kontrak pengasuh percuma kami untuk permulaan yang mudah.
Kontrak pengasuh bukan soal ketidakpercayaan, tetapi tentang kejelasan, dan itu baik untuk kedua-dua pihak. Ia tidak perlu menjadi dokumen yang panjang. Perjanjian pengasuh yang baik merangkumi perkara asas seperti tempoh percubaan dan notis, bayaran, waktu kerja, tugas dan tanggungjawab, peraturan rumah, serta butiran penting seperti alahan dan kenalan kecemasan. Selebihnya boleh dipersetujui melalui perbualan terbuka. Bila jangkaan ditulis dari awal, salah faham dapat dielakkan. Jom kita lihat dengan lebih lanjut.
Apakah Kontrak Pengasuh?
Kontrak pengasuh adalah perjanjian antara ibu bapa dan pengasuh. Ia mengumpulkan semua maklumat penting yang perlu diketahui oleh kedua-dua pihak, termasuk peraturan yang telah dipersetujui bersama. Berapa kadar bayaran sejam? Apa tugas yang dijangkakan? Adakah bayaran tetap sejam atau jumlah yang dipersetujui setiap sesi? Adakah pengasuh bekerja pada hari tetap atau secara fleksibel?
Kontrak ini juga penting untuk menetapkan jangkaan kedua-dua pihak. Masalah sering timbul bila seseorang mengharapkan sesuatu tanpa memberitahu pihak lain. Kalau jangkaan tidak dikongsi dengan jelas, jangan harap ia akan dipenuhi, dan ini berlaku untuk kedua-dua pihak.
Pendekatan terbaik adalah menetapkan kehendakan dan jangkaan anda sebelum mula mencari. Dengan begitu, ibu bapa dan pengasuh boleh mencari seseorang yang benar-benar sesuai, dan peluang untuk jumpa padanan yang tepat akan jauh lebih tinggi.
Mengapa Anda Memerlukan Kontrak Pengasuh?
Kontrak pengasuh mungkin terasa terlalu formal, terutamanya kerana menjaga kanak-kanak sering dilakukan atas dasar kasih sayang terhadap kanak-kanak. Ramai ibu bapa percaya bahawa semangat dan kasih sayang terhadap anak seharusnya menjadi motivasi utama. Dan bagi ramai pengasuh, memang begitulah.
Pada masa yang sama, apabila pengasuh dan keluarga bekerja bersama dalam jangka masa panjang, ikatan yang erat sering terbentuk antara pengasuh dan anak. Dalam keadaan sebegini, aspek praktikal mungkin terasa jauh. Tapi ia tetap penting untuk diingat.
Berikut adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan: tidak kira betapa seronoknya anak-anak bersama pengasuh mereka, dan tidak kira betapa gembiranya semua pihak dengan peraturan yang ada, ia tetap merupakan perjanjian profesional. Pada asasnya, ibu bapa adalah majikan dan pengasuh adalah pekerja yang menyediakan perkhidmatan.
Mungkin terasa sedikit janggal untuk difikirkan, tapi cara pandang ini sebenarnya memudahkan kedua-dua pihak. Ia mewujudkan asas yang kukuhl untuk membincangkan jangkaan atau menangani masalah bila ia timbul. Lagipun, ibu bapa menandatangani kontrak bila mendaftarkan anak di taska atau pusat jagaan, dan bila anda memohon kerja, anda sentiasa ada kontrak. Jadi, kenapa tidak untuk pengasuh juga?
Apa yang Perlu Disertakan dalam Kontrak Pengasuh Anda
Di bawah, anda akan temui beberapa perkara yang mungkin ingin disertakan dalam kontrak pengasuh. Ada yang mudah difahami, tapi ada juga yang mungkin tidak terlintas di fikiran anda sebelum ini dan boleh buat perbezaan yang besar. Sebelum tulis apa-apa, bincang dulu. Kongsikan apa yang anda mahukan, dengar pandangan masing-masing, dan buat pelarasan bersama. Bila dua-dua pihak dah bersetuju, barulah tulis dan tandatangan.
Muat turun Template Kontrak Pengasuh yang boleh anda sesuaikan mengikut keperluan.
1. Bayaran dan Waktu Kerja
Pastikan perkara asas ini jelas dari awal:
- Kadar Bayaran Sejam Persetujui kadar sebelum sesi pertama, bukan selepasnya. Tak pasti kadar biasa di kawasan anda? Semak di sini dan baca artikel kami tentang kadar bayaran pengasuh di Malaysia.
- Kerja Lebih Masa Apa yang berlaku jika mesyuarat terlanjur atau kereta rosak di tengah jalan? Putuskan terlebih dahulu sama ada masa tambahan itu dibayar pada kadar yang sama, kadar lebih tinggi, atau diganti dengan cuti di hari lain. Tiada jawapan yang salah, asalkan kedua-dua pihak bersetuju.
- Elaun Perjalanan Kalau pengasuh guna kenderaan sendiri atau naik pengangkutan awam ke rumah anda, adakah kos itu ditanggung? Persetujui perkara ini dari awal supaya tak jadi kekok kemudian hari.
2. Asas Kontrak Pengasuh
Beberapa perkara praktikal yang patut ditulis dengan jelas:
Tempoh Percubaan Tempoh percubaan yang singkat (biasanya, dua hingga empat minggu) memberi kedua-dua pihak peluang untuk melihat sama ada ia sesuai, tanpa sebarang tekanan.
Tempoh Notis Berapa lama notis yang perlu diberikan oleh setiap pihak kalau sesuatu tidak berjalan dengan baik? Dua minggu adalah titik permulaan yang munasabah, tapi persetujui sesuatu yang sesuai dengan situasi anda.
3. Peranan, Tanggungjawab dan Butiran Penting
“Menjaga anak” bermaksud sesuatu yang berbeza untuk setiap keluarga. Jelaskan dengan spesifik:
- Adakah peranan itu semata-mata pengawasan, atau termasuk menyediakan makanan, menghantar dan menjemput anak dari sekolah, atau membantu dengan kerja sekolah?
- Adakah tugas rumah terlibat? Seperti mengemas selepas anak-anak bermain atau membasuh pinggan selepas makan?
Anda mungkin juga ingin menyertakan beberapa butiran penting dalam kontrak, walaupun banyak perkara harian akan diuruskan melalui komunikasi biasa antara pengasuh dan ibu bapa:
- Ada peraturan rumah yang perlu dipatuhi?
- Ada maklumat penting yang pengasuh perlu tahu, seperti alahan, ubat, atau barang kesayangan anak?
- Ada kenalan kecemasan kalau ibu bapa tidak dapat dihubungi?
4. Tingkah Laku Semasa Bekerja
Ramai yang terlepas pandang bahagian ni, dan kemudian menyesal.
- Penggunaan Telefon Jelaskan jangkaan dari awal. Boleh pengasuh semak telefon, atau perlu disimpan semasa waktu kerja?
- Keluar Bersama Anak Boleh pengasuh bawa anak-anak keluar ke taman, perpustakaan, atau rumah kawan? Atau perlu minta izin dulu? Mesej ringkas “Kami dah sampai!” di WhatsApp boleh bagi ibu bapa rasa lebih tenang.
- Pelawat Bolehkah pengasuh menjemput rakan ke rumah semasa bekerja? Bolehkah mereka bertemu seseorang semasa keluar bersama anak-anak? Nampak macam perkara kecil, tapi patut dibincangkan.
- Foto dan Media Sosial Bolehkah pengasuh ambil gambar anak? Bolehkah mereka muat naik gambar tersebut? Kebanyakan ibu bapa lebih suka pendekatan “privasi dahulu”, dan pengasuh biasanya faham. Lebih baik bincang sekarang daripada bila anak anda tiba-tiba viral dalam TikTok orang lain.
Senarai Semak Kontrak Pengasuh
Gunakan senarai semak ini untuk pastikan tiada yang tertinggal sebelum kedua-dua pihak menandatangani:
- Kadar bayaran sejam
- Polisi kerja lebih masa (kadar yang sama, kadar lebih tinggi atau cuti ganti)
- Elaun perjalanan, ditanggung atau tidak
- Tempoh percubaan
- Tempoh notis untuk kedua-dua pihak
- Peranan dan tanggungjawab yang jelas
- Peraturan rumah
- Alahan, ubat-ubatan, dan butiran penting lain
- Kenalan kecemasan
- Lawatan: apa yang dibenarkan dan apa yang memerlukan persetujuan terlebih dahulu
- Polisi pelawat
- Peraturan foto dan media sosial dipersetujui
Menyediakan Kontrak Pengasuh Bersama
Proses menyemak kontrak bersama sama pentingnya dengan dokumen itu sendiri. Ini adalah peluang untuk bincangkan butiran yang sering tidak diperkatakan, butiran yang mungkin dianggap jelas oleh satu pihak tapi tidak oleh pihak lain. Pastikan tiada jangkaan tersembunyi atau kejutan yang tidak menyenangkan pada hari pertama atau selepasnya.
Kontrak boleh menetapkan syarat, tapi ia tidak boleh membina hubungan. Bila kedua-dua ibu bapa dan pengasuh berpuas hati dengan syarat dari awal, hubungan kerja akan menjadi lebih baik, bukan kerana tertulis dalam kontrak, tapi kerana ada asas kepercayaan yang tulen. Dan semua itu bermula dengan cara kedua-dua pihak mendekati perkara ini dari awal.
Isi kandungan
Soalan Lazim
Kontrak pengasuh yang baik perlu merangkumi kadar bayaran sejam, hari dan waktu bekerja, polisi kerja lebih masa, elaun perjalanan, tempoh percubaan, tempoh notis penamatan, peranan dan tanggungjawab, peraturan rumah, alahan dan butiran penting, kenalan kecemasan, peraturan lawatan, polisi pelawat, serta had berkaitan foto dan media sosial.
Tiada tempoh notis yang ditetapkan secara undang-undang untuk perjanjian pengasuhan tidak rasmi, tetapi dua minggu adalah standard yang biasa dan adil untuk kedua-dua pihak. Untuk peraturan yang lebih tetap dan menyerupai pekerjaan biasa, undang-undang pekerjaan tempatan mungkin terpakai.
Tiada standard yang tetap, tapi tempoh percubaan dua hingga empat minggu adalah kebiasaan. Ini memberi masa yang cukup kepada keluarga dan pengasuh untuk lihat sama ada ia sesuai, tanpa tekanan dari mana-mana pihak. Persetujui tempoh ini dari awal dan sertakan dalam kontrak supaya semua pihak tahu apa yang dijangkakan.
Dapatkan pengasuh yang boleh dipercayai
Perlukan bantuan jagaan anak yang cepat dan mudah? Sitly memudahkan anda mencari pengasuh dipercayai di kawasan anda. Daftar hari ini dan lihat siapa yang tersedia.