Panduan ini akan tunjukkan cara kenalkan pengasuh kepada anak anda secara berperingkat, apa yang perlu disampaikan sebelum sesi pertama bermula, dan macam mana nak handle air mata waktu selamat tinggal tanpa memburukkan keadaan. Langkah-langkah praktikal untuk ibu bapa yang mahu proses peralihan ini berjalan dengan lancar.
Dah jumpa pengasuh yang sesuai? Tahniah. Ada ulasan yang baik, perangai yang mesra, dan anak anda pun sempat senyum malu-malu masa pertemuan pertama. Tapi bahagian yang paling ramai ibu bapa tidak jangka: bantu anak anda betul-betul selesa dengan orang baharu ini.
Sesi-sesi awal memang boleh rasa mencabar. Ada yang menangis di pintu, ada yang melekat tak nak lepas, ada yang tadi baik-baik sahaja tiba-tiba tak nak lepaskan kaki anda. Ini bukan tanda anda buat pilihan yang salah. Ini tanda anak anda sedang menyesuaikan diri, dan proses itu memang ambil masa.
Jom kita tengok macam mana nak buat proses ini lebih senang, untuk anak dan untuk anda sendiri.
Langkah 1: Perkenalkan Pengasuh Sebelum Hari Pertama
Setiap anak ada caranya tersendiri untuk biasa dengan orang baharu. Ada yang cepat, ada yang ambil masa. Yang penting, jangan paksa terlalu cepat. Bagi mereka ruang untuk biasa secara berperingkat.
Mulakan dengan jemput pengasuh datang lawat di mana semua orang ada di rumah. Tiada tekanan, tidak ada keperluan untuk keluar mana-mana. Sekadar bagi masa untuk semua orang kenali satu sama lain. Biar anak anda tentukan rentak dia sendiri. Ada yang terus rancak berborak dalam masa sepuluh minit, ada yang tengok dari jauh sepanjang lawatan itu, dan itu pun okay. Setiap anak berbeza, tapi anda sebagai ibu bapa pasti tahu bila anak anda dah rasa selesa.
Bila anak anda dah nampak okay, cuba tinggalkan mereka berdua sebentar. Beberapa minit saja dulu, masa anda masih ada dalam rumah. Keluar dari bilik itu sekejap dan tengok macam mana keadaannya. Kalau semuanya okay, cuba beri masa lebih lama, mungkin jalan-jalan kejap di luar. Anda bukan sedang menguji sesiapa. Anda sekadar bagi ruang untuk hubungan itu tumbuh dengan sendirinya.
Masa dah tiba untuk sesi pertama yang sebenar, minta pengasuh datang sedikit awal. Biar dia mulakan satu permainan atau aktiviti bersama anak anda sebelum anda beredar. Waktu selamat tinggal jauh lebih senang bila anak anda sedang seronok bermain, bukan berdiri di pintu tengok anda pakai kasut nak keluar.
Satu perkara yang ramai terlepas pandang: anak anda perhatikan anda lebih dari yang anda sedar. Kalau anda tenang dan selesa dengan pengasuh itu, anak anda pun akan rasa yang orang ini boleh dipercayai.
Langkah 2: Apa yang Perlu Anda Sampaikan kepada Pengasuh Sebelum Sesi Pertama
Pengasuh yang betul-betul bersedia akan rasa lebih yakin, dan anak-anak cepat menangkap keyakinan itu. Sebelum sesi pertama, kongsikan perkara-perkara penting ini:
- Rutin harian anak anda, termasuk waktu makan, tidur siang, dan aktiviti
- Alahan atau keperluan perubatan
- Peraturan rumah dan kawasan yang tak boleh masuk
- Nombor kecemasan dan alamat penuh rumah anda
- Apa yang anak anda suka, apa yang buat dia susah hati, dan barang keselesaan yang perlu pengasuh tahu
- Perkataan atau ungkapan yang anak anda guna yang mungkin tak difahami pengasuh, contohnya cara dia panggil air, makanan, atau nama mainan kesayangan dia
Apa lagi yang perlu disampaikan bergantung pada tugas pengasuh anda. Kalau dia perlu ambil anak dari sekolah, hantar ke aktiviti, atau teman ke latihan sukan, semua itu ada butirannya tersendiri yang perlu dikongsi.
Tuliskan semua ini daripada menyampaikannya sekaligus di pintu dalam keadaan tergesa-gesa. Pengasuh anda akan hargai usaha itu, dan mengetahui semua maklumat penting sudah tersedia dalam tulisan akan buat anda rasa lebih tenang.
Langkah 3: Waktu Selamat Tinggal: Apa yang Perlu Dilakukan Bila Kebimbangan Perpisahan Mula Muncul
Ini yang perlu anda tahu tentang air mata waktu selamat tinggal: ia normal, ia sihat, dan hampir selalu berhenti dalam beberapa minit selepas anda pergi. Ini bukan bermakna anak anda tidak suka pengasuh tersebut. Ini bermakna dia sayang anda, dan memang begitulah sepatutnya.
Beberapa perkara yang boleh membantu anak anda:
Buat ia ringkas. Ucapan selamat tinggal yang panjang tidak melembutkan proses peralihan itu, ia hanya melanjutkannya. Cakap selamat tinggal dengan penuh kasih sayang, dengan jelas, kemudian pergi. Setiap kali anda berlengah-lengah atau kembali untuk melihat keadaan, anda sedang memberitahu anak anda bahawa ada sesuatu yang perlu ditakuti.
Jangan pergi diam-diam. Memang menggoda, terutama bila anak anda sedang leka dengan sesuatu. Tapi anak-anak yang tidak mendapat ucapan selamat tinggal yang betul selalunya rasa lebih cemas selepas itu, bukannya kurang. Ucapan selamat tinggal yang sebenar, walaupun susah, memang membina kepercayaan.
Bagi dia petanda masa “Dua jam lagi” tidak bermakna apa-apa untuk anak berusia empat tahun. “Mama/Ayah balik sebelum makan malam” atau “lepas makan tengah hari” adalah sesuatu yang lebih mudah untuk dia fahami.
Kebanyakan anak-anak tenang lebih cepat dari yang ibu bapa jangkakan. Ucapan selamat tinggal itu biasanya lebih berat untuk anda daripada untuk mereka.
Langkah 4: Kalau Anda Bekerja dari Bilik Lain
Perkara ini memang selalu mengejutkan ramai ibu bapa. Anda ada di rumah, sebilik sahaja jauhnya, jadi sepatutnya tiada masalah, bukan? Dalam praktiknya, keadaan ini selalunya lebih mencabar daripada kalau anda keluar terus, untuk anda dan untuk anak anda.
Memang semula jadi untuk masuk memeriksa keadaan bila anda dengar anak anda menangis di bilik sebelah. Tapi kalau anak anda menangis dan anda muncul setiap kali, dia akan belajar dengan cepat bahawa menangis akan membawa anda kembali. Ini bukan manipulasi. Ini memang cara anak-anak memahami dunia di sekeliling mereka. Tapi kesannya, pengasuh tidak pernah mendapat peluang yang betul untuk membina hubungannya sendiri dengan anak anda, dan setiap sesi adalah seperti hari pertama.
Peraturannya mudah: percayakan pengasuh untuk mengendalikan situasi tersebut. Kalau dia memerlukan anda, dia akan datang mencari anda. Kalau tidak, tetap di tempat anda, tahan keinginan untuk menjenguk, dan biarkan pengasuh melakukan tugasnya. Keadaan akan menjadi lebih mudah lebih cepat dari yang anda sangka.
Langkah 5: Mulakan dengan Bermain, Jangan Tergesa-gesa dengan Tidur Siang atau Waktu Makan
Untuk sesi-sesi awal, pastikan ia mudah dan ringan. Waktu petang biasanya lebih sesuai: kurang tekanan, tiada keletihan yang sudah terkumpul, anak tidak lapar. Biarkan pengasuh dan anak anda sekadar menghabiskan masa bersama, bermain, dan perlahan-lahan rasa selesa dengan satu sama lain.
Kalau boleh, waktu tidur siang dan waktu makan boleh ditangguhkan dahulu. Ini waktu-waktu di mana anak-anak rasa paling dekat dengan ibu bapa, dan menyerahkannya terlalu awal boleh mengganggu penyesuaian yang sebelum ini berjalan dengan baik. Tidak perlu tergesa-gesa. Bila anak anda sudah betul-betul selesa dengan pengasuhnya, biasanya selepas beberapa sesi, barulah anda boleh mula masukkan bahagian-bahagian hari yang lebih mencabar, satu persatu.
Bila Anda Pulang, Luangkan Masa untuk Perbincangan Ringkas dengan Anak dan Pengasuh Anda
Sebelum pengasuh beredar, luangkan beberapa minit untuk dengar bagaimana sesi itu berjalan. Pengasuh yang baik tidak akan sekadar berkata “okay je.” Dia akan ceritakan apa yang anak anda suka, apa yang berlaku, dan apa yang anda perlu tahu. Perbincangan ringkas seperti ini memang penting. Baca lebih lanjut tentang apa yang menjadikan pengasuh itu baik.
Dengan anak anda pula, pastikan ia ringan. “Seronok tak tadi?” sudah cukup untuk anak-anak yang masih kecil. Anak-anak yang lebih besar selalunya akan berkongsi lebih banyak kalau anda tanya sesuatu yang lebih spesifik, contohnya “Tadi main apa?” atau “Apa bahagian paling best petang tadi?”
Teruskan memerhati dalam hari-hari berikutnya. Kalau anak anda sebut nama pengasuh, minta nak jumpa dia lagi, atau cerita sesuatu yang mereka buat bersama, dengar cara dia bercakap. Reaksi anak anda selepas itu selalunya lebih jujur daripada apa yang berlaku semasa sesi itu sendiri.
Membantu Anak Menyesuaikan Diri dengan Pengasuh Baharu
Biasa dengan pengasuh baharu tidak berlaku dalam sekelip mata. Untuk sesetengah anak beberapa sesi sudah cukup, untuk yang lain mungkin mengambil masa beberapa minggu. Tidak ada jalan pintas. Ia berlaku perlahan-lahan, dan satu hari nanti anda akan sedar anak anda sudah berlari ke pintu bila pengasuh tiba.
Bersabar dengan anak. Bersabar dengan pengasuh. Dan bersabar dengan diri anda sendiri juga, kerana melepaskan kawalan, walaupun sekadar untuk satu petang, memang salah satu bahagian paling mencabar dalam tanggungjawab sebagai ibu bapa, walaupun ia jarang diakui.
Jumpa Pengasuh yang Anda Percayai di Sitly
Di Sitly, anda boleh menyemak profil, membaca ulasan daripada ibu bapa lain, dan menghubungi pengasuh berhampiran anda, supaya anda sudah rasa selesa dengan pilihan anda sebelum hari pertama pun tiba. Cari pengasuh berdekatan anda sekarang.
Isi kandungan
Soalan Lazim
Tidak ada tempoh yang tetap. Ada anak yang sudah selesa selepas beberapa sesi, ada yang mengambil masa beberapa minggu. Semua bergantung pada usia, perangai anak, dan bagaimana pengenalan berperingkat itu dijalankan. Penyesuaian selalunya berlaku perlahan-lahan, dan satu hari nanti anda akan sedar anak anda sudah berlari ke pintu bila pengasuh tiba.
Air mata waktu selamat tinggal adalah normal dan biasanya berhenti dalam beberapa minit selepas anda pergi. Ucapkan selamat tinggal dengan ringkas dan penuh kasih sayang, dan tahan keinginan untuk berlengah-lengah atau kembali semula untuk memeriksa keadaan. Setiap kali anda berbuat demikian, anda sedang memberitahu anak anda bahawa ada sesuatu yang perlu ditakuti. Elak juga pergi tanpa berkata apa-apa. Anak-anak yang tidak mendapat ucapan selamat tinggal yang betul selalunya rasa lebih cemas selepas itu, bukan kurang.
Mulakan dengan lawatan biasa di mana semua orang ada di rumah bersama-sama. Biarkan anak anda menentukan rentaknya sendiri. Bila dia sudah nampak selesa, cuba tinggalkan mereka berdua beberapa minit sementara anda masih ada di rumah, kemudian tambah masa sedikit demi sedikit dari situ. Minta pengasuh datang sedikit awal untuk sesi pertama yang sebenar, dan biarkan dia memulakan aktiviti bersama anak anda sebelum anda beredar. Kedua-dua langkah ini boleh membuat perbezaan yang ketara.
Dapatkan pengasuh yang boleh dipercayai
Perlukan bantuan jagaan anak yang cepat dan mudah? Sitly memudahkan anda mencari pengasuh dipercayai di kawasan anda. Daftar hari ini dan lihat siapa yang tersedia.