Panduan ini mengumpulkan 22 idea mudah kraf Krismas untuk kanak-kanak, sesuai dari prasekolah hingga sekolah rendah. Dengan bahan ringkas seperti kertas, pasta dan barangan kitar semula, anak-anak boleh menghasilkan hiasan Krismas, kraf dan hadiah DIY. Aktiviti ini menyeronokkan, membina kreativiti dan membawa keceriaan Krismas ke rumah dan bilik darjah.
Sedang mencari kraf Krismas yang mudah dan menyeronokkan untuk kanak-kanak? Jangan risau, kami dah compile semua idea terbaik untuk anda! Sama ada anda ibu bapa yang nak luangkan masa berkualiti, guru yang cari aktiviti kelas, atau pengasuh, semua idea kraf ini akan buat anak-anak gembira, rangsang kreativiti mereka dan bawa keceriaan Krismas ke rumah atau bilik darjah.
Jujur cakap, buat kraf Krismas bersama kanak-kanak memang antara aktiviti paling best masa musim perayaan. Tak macam aktiviti lain yang boleh jadi kelam kabut, kraf ni aman, kreatif dan penuh dengan kasih sayang. Apabila anda dan anak-anak mencipta hiasan atau hadiah kecil bersama, anda bukan sahaja membina kenangan indah tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk menyumbang sesuatu yang istimewa pada musim Krismas.
Koleksi ini mengandungi idea kraf Krismas yang mudah, meriah dan sesuai untuk semua peringkat umur – daripada prasekolah hingga kanak-kanak yang lebih besar. Bagi ibu bapa, aktiviti ini sesuai untuk sesi masa berkualiti yang tenang. Bagi pengasuh, ia cara terbaik untuk menghiburkan kanak-kanak sambil mengekalkan semangat Krismas. Dan bagi guru, banyak projek ini boleh disesuaikan dengan mudah untuk bilik darjah.
Kraf Krismas Mudah untuk Kanak-kanak
Jom kita mula dengan yang paling mudah dulu. Kraf ni sesuai untuk budak kecil atau yang baru nak cuba merasai keseronokan mencipta sesuatu yang meriah tanpa banyak kerumitan. Ia juga boleh menambah sentuhan peribadi pada hiasan Krismas anda.
1. Gula-gula Candy Cane
Idea dari Martha Stewart ni memang sesuai untuk si kecil kerana sangat mudah. Putarkan dua pembersih paip bersama-sama, kemudian bengkokkan jadi bentuk tongkat. Tambahkan reben merah-putih kecil, dan anda akan mendapat perhiasan Krismas yang comel dalam sekelip mata.

2. Berus Cat Jadi Santa Comel
Dengan gam, cat, mata boneka, pembersih paip dan bahan-bahan lain di rumah, berus cat biasa boleh ditukar menjadi Santa kecil yang comel. Sesuai juga jadi hadiah buatan tangan untuk datuk nenek, pakcik makcik atau rakan yang minat kraf.

3. Pokok Krismas Bekas Cupcake
Sesuai untuk keluarga yang gemar membuat kek. Susun bekas cupcake berwarna hijau atau merah satu dalam satu untuk membentuk pokok, kemudian hias dengan bintang di atas. Mudah, kreatif dan meriah.

4. Hiasan Pokok Krismas
Cari ranting kecil sebagai batang pokok. Ikat reben atau cebisan kain berwarna-warni sepanjang ranting sehingga membentuk siluet pokok. Tambah gelung di atas, dan hiasan pokok siap digantung.

5. Mini Wreath
Satu lagi kraf Krismas mudah untuk semua peringkat umur. Bentukkan pembersih paip hijau jadi bulatan kecil, hias dengan reben merah, dan gantung je pada pokok Krismas. Simple tapi cantik!

Kraf Kertas Krismas untuk Kanak-kanak
Kertas memang bahan paling mudah dan serbaguna untuk buat kraf. Senang didapati, boleh dikitar semula dan boleh diubah menjadi hiasan cantik. Daripada kertas warna hingga kotak kadbod, anda boleh mencipta pelbagai kraf Krismas kanak-kanak hanya dengan bahan yang ada di rumah. Jom tengok beberapa idea menarik:
6. Pokok Krismas dari Bekas Telur
Kraf mesra alam ini menggunakan bekas telur terpakai! Potong, cat, susun bertingkat dan hias dengan bintang, manik atau glitter. Tebuk lubang kecil di atas setiap cawan, masukkan tali dan susun untuk membentuk pokok Krismas tergantung.

7. Pokok Krismas dari Pinggan Kertas
Kraf yang sangat mudah untuk kanak-kanak semua peringkat umur. Anda boleh gunakan pinggan kertas hijau atau biarkan anak-anak mewarnakan pinggan putih. Bahagian paling menyeronokkan adalah masa menghias! Untuk membentuk pokok, lipat pinggan kepada tiga bahagian dan gam tepinya – langkah mudah dengan bantuan orang dewasa.

8.Orang Salji dari Pinggan Kertas
Sekali lagi, pinggan kertas jadi bahan utama projek Krismas ni. Si kecil pun boleh join dengan sedikit bantuan. Lipat pinggan, gam, kemudian gunakan kertas warna, gunting dan pen untuk membuat muka dan butiran orang salji.

9. Stoking Krismas DIY
Daripada membeli stoking Krismas, baik buat sendiri dengan anak kan? Bantu mereka lukis bentuk stoking pada kadbod atau kain tebal. Biarkan mereka menggunting dan menebuk lubang di tepi untuk memasukkan benang. Aktiviti mudah ini bukan sahaja menyeronokkan, malah stoking buatan tangan tersebut akan menjadi kenangan Krismas yang istimewa dan bermakna.

10. Hiasan Meja dengan Sentuhan Peribadi
Meja makan Krismas memang tak lengkap tanpa hiasan peribadi kan? Projek ini menggunakan semula gulungan tisu yang dah habis: balut dengan kertas hadiah atau catkan dengan warna meriah, tekan sedikit agar rata dan hiaskan mengikut citarasa. Ia sesuai untuk memegang sudu garpu dan pasti menambah keceriaan pada meja. Jom explore lagi idea-idea kraf gulungan tisu yang menarik!

Kraf Krismas dengan Pasta
Untuk menghias pokok atau meja perayaan, pasta kering memang bahan yang sangat berguna! Ia boleh dicat, digam dan tukar jadi hiasan berkilau yang cantik.
11. Bola Emas Fusilli
Pasta fusilli yang berpilin sesuai untuk dijadikan bebola Krismas yang berkilau. Hanya memerlukan pasta, gam dan cat emas sahaja.

12. Bintang Perak
Satu lagi hiasan pokok Krismas yang mudah, kali ini dalam warna perak yang elegan. Lekatkan pasta penne membentuk bintang dan semburkan dengan cat perak.

13. Pokok Krismas
Jika anda ada pasta berbentuk roda, tambahkan cat hijau dan loceng kecil, anda boleh hasilkan pokok mini yang comel. Cat, hias dan gantung di pokok Krismas.

14. Pokok Krismas Berdiri
Nampak susah, tetapi sebenarnya mudah dibuat. Gunakan span bunga, potong bentuk segi tiga, cat, dan biarkan anak-anak cucuk pasta penne satu demi satu sehingga membentuk pokok Krismas.

15. Malaikat Hiasan
Satu kraf klasik Krismas untuk kanak-kanak. Campurkan pelbagai bentuk pasta untuk membuat malaikat cantik sebagai hiasan pokok. Satu bahan tambahan yang diperlukan untuk kraf ini ialah manik kayu kecil untuk dijadikan kepala, yang boleh didapati di kedai kraf atau kedai alat tulis.

Kraf Krismas untuk Kanak-kanak Prasekolah
Bahkan kanak-kanak kecil pun mampu menghasilkan kraf yang menawan. Dengan sedikit bimbingan, anak berumur 3 hingga 5 tahun pasti bangga dengan hasil karya mereka.
16. Pokok Krismas dari Jejak Kaki
Kombinasi melukis dan kolaj – amat sesuai untuk si kecil. Celupkan kaki anak dalam cat yang selamat untuk budak kecil atau pewarna makanan, cap pada kertas, kemudian hias cap itu menjadi pokok Krismas. Memang bersepah tapi sangat seronok!

17. Pemegang Lilin dengan Cap Tangan
Projek kreatif untuk anak kecil. Buat doh garam, tekan tapak tangan anak di atas doh, kemudian letakkan lilin kecil di bahagian tengah. Setelah doh kering, anda akan mendapat pemegang lilin buatan sendiri yang penuh kenangan dan bermakna.

18. Hiasan Bintang Santa (4 tahun ke atas)
Sesuai untuk kanak-kanak yang sudah pandai menggunakan gunting dengan selamat. Hasil akhirnya ialah bintang comel bertemakan Santa, cantik digantung pada pokok Krismas.

Kraf Krismas untuk Kanak-kanak Sekolah Rendah
Kanak-kanak yang lebih besar juga meminati projek Krismas. Idea ini lebih terperinci dan membantu mereka mengasah kemahiran sambil menghasilkan hiasan yang boleh dijadikan hadiah.
19. Orang Salji atau Gnome dari Stoking
Hanya perlukan dua stoking berwarna, butang, benang, jarum dan gunting. Anak-anak boleh menjahit dan menghias orang salji atau gnome mereka sendiri. Seronok, unik dan sesuai jadi hadiah buatan tangan.
20. Bintang dari Kayu Ais Krim dan Butang
Antara kraf Krismas paling popular untuk kanak-kanak. Gam batang aiskrim dalam bentuk bintang, kemudian hias dengan butang berwarna. Mudah, murah dan cantik sebagai hiasan pokok.

21. Rusa dari Penyepit Kayu
Hiasan klasik yang dibuat dari barangan di rumah: penyepit baju. Dengan sedikit cat, pom-pom, benang, dan marker, kanak-kanak boleh menukar penyepit baju menjadi rusa kecil yang comel untuk hiasan pokok Krismas.

22. Lampu Hiasan Santa
Kumpulkan beberapa botol plastik kosong, lampu LED, kertas berwarna dan gam – hasilnya lampu buatan tangan bertemakan Santa. Aktiviti ini menyeronokkan dan menambah suasana ajaib pada hiasan Krismas.
Idea kraf Krismas yang mudah ini bukan sahaja membuatkan anak-anak seronok berkarya, malah menambah keceriaan musim perayaan anda. Jika anda mencari lebih banyak inspirasi, blog Sitly penuh dengan idea menyeronokkan — dari kraf tiub kadbod hingga kraf Hari Ibu yang anak-anak pasti suka buat.

Table of contents