Panduan ini merangkumi cara yang betul untuk semak rujukan pengasuh: siapa yang perlu dihubungi, apa yang perlu ditanya, dan tanda-tanda amaran yang perlu diambil serius.
Cari pengasuh yang baik memang perlukan masa dan usaha. Lepas temu duga yang berjalan lancar dan anda rasa dah jumpa orang yang sesuai, memang mudah nak terus buat keputusan. Tapi sebelum anda berbuat demikian, ada satu langkah yang tak boleh dilangkau langsung, semak rujukan.
Rujukan adalah antara cara paling boleh dipercayai untuk ketahui siapa sebenarnya yang anda ambil bekerja. Berita baiknya, kalau anda jumpa pengasuh melalui Sitly, sebahagian kerja tu dah pun selesai. Ulasan ibu bapa lain boleh dilihat terus pada setiap profil pengasuh, itulah permulaan anda.
Rujukan di Sitly: lapisan pertama pengesahan anda
Sebelum hubungi sesiapa pun, baca dulu profil Sitly pengasuh anda dengan teliti. Ulasan daripada ibu bapa lain memberikan gambaran yang lebih nyata tentang cara mereka berinteraksi, cara mereka kerja, dan bagaimana anak-anak bertindak balas terhadap mereka.
Kalau anda nak berbual terus untuk dapat gambaran yang lebih terperinci, minta pengasuh kongsikan maklumat hubungan keluarga-keluarga yang pernah menggunakan khidmat mereka sebelum ini.
Sitly menghubungkan anda dengan pengasuh dalam kawasan anda sendiri, jadi ada kemungkinan anda berkongsi kejiranan, sekolah, atau kenalan yang sama. Di Malaysia, di mana komuniti memang rapat dan saling mengenali, hubungan tempatan sebegini menambah lapisan kepercayaan yang sukar didapati kalau mencari seseorang dari jauh.

Bagaimana jika pengasuh tidak mempunyai rujukan?
Tak ada rujukan tak semestinya tanda amaran, terutamanya kalau pengasuh tu masih muda dan baru nak mulakan kerjaya. Minta mereka cadangkan seseorang yang boleh bercakap tentang watak dan kebolehpercayaannya, seperti bekas majikan, guru, atau mentor.
Luangkan masa lebih untuk temu duga dan pertimbangkan sesi percubaan di rumah anda sebelum membiarkan pengasuh bersendirian bersama anak-anak.
Namun jika pengasuh sudah lama bekerja dalam bidang ini, situasinya berbeza. Seseorang yang berpengalaman sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya satu atau dua keluarga yang sanggup jadi rujukan. Kalau tiada langsung, tanya kenapa dan dengar jawapannya dengan teliti.
Bila masa yang sesuai untuk minta rujukan?
Minta rujukan selepas temu duga, bukan selepas anda sudah membuat keputusan.
Kenapa lepas temu duga? Kerana semakan rujukan paling berguna apabila anda boleh menyilangkan maklumat dengan apa yang pengasuh ceritakan kepada anda. Adakah pengasuh berkata pernah bekerja dengan sebuah keluarga selama dua tahun? Bahawa dia pandai uruskan situasi kecemasan? Bahawa kanak-kanak menyukainya? Rujukan adalah cara untuk sahkan kesemua itu.
Jika anda bertanya terlalu awal, anda tak ada apa nak dibandingkan. Jika terlalu lewat, anda sudah pun memutuskan dan hanya mencari pengesahan, bukan maklumat.
Siapa yang patut beri rujukan?
Rujukan yang paling berguna datang daripada keluarga yang pernah gunakan pengasuh tu sebelum ini. Mereka boleh bercakap secara langsung tentang tingkah laku pengasuh bersama kanak-kanak, cara mengendalikan situasi tidak dijangka, dan sama ada mereka akan gunakan pengasuh yang sama lagi.
Tidak semua rujukan mempunyai nilai yang sama. Keluarga yang menggunakan pengasuh yang sama setiap minggu selama setahun telah melihatnya dalam pelbagai situasi. Malam yang melelahkan, waktu tidur yang mencabar dan situasi yang tidak dijangka. Berbanding keluarga yang sesekali menggunakan mereka pada malam hujung minggu pula hanya ada gambaran yang lebih terhad. Kedua-duanya tetap bernilai, tapi pastikan anda tanya berapa kerap dan berapa lama mereka bekerja bersama. Semakin kerap dan lama pengalamannya, semakin kukuh rujukannya.
Bagaimana jika rujukan datang daripada ahli keluarga?
Rujukan daripada sepupu atau ibu saudara tidak semestinya tidak bernilai, tapi ia perlu difahami secara berbeza.
Ahli keluarga cenderung bercakap secara umum seperti “Dia sangat baik dengan kanak-kanak” atau “Semua orang sukanya.” Kata-kata itu terdengar baik, tapi tidak banyak yang boleh anda pelajari daripadanya. Apa yang anda cari ialah perkara yang lebih spesifik. Bagaimana reaksinya ketika kanak-kanak mengamuk? Apa yang dilakukannya bila anak terjatuh dan cedera?
Kalau hanya ada rujukan dari keluarga, imbangi dengan sekurang-kurangnya satu kenalan luar seperti bekas majikan, guru, atau ibu bapa lain yang pernah mengambilnya bekerja.
Cara menjalankan semakan rujukan pengasuh
Setelah mendapat nama orang yang akan dihubungi, ambil masa sebentar untuk tengok profil media sosial mereka dahulu. Bukan nak siasat sesiapa, sekadar nak tengok sama ada anda ada kenalan bersama atau berkongsi kawasan yang sama. Sekali imbas tu kadang-kadang dah cukup buatkan orang asing rasa lebih familiar.
Menghubungi rujukan mungkin terasa sedikit janggal, terutama jika anda tidak pasti apa yang hendak dikatakan. Tetapi kebanyakan ibu bapa di hujung talian tu faham situasi anda kerana mereka pun pernah lalui perkara yang sama. Ringkas, mesra, dan terus kepada tujuan. Anda boleh mulakan dengan sesuatu seperti ini:
“Hai, nama saya [Nama]. [Nama pengasuh] telah memberikan nombor anda sebagai rujukan. Adakah anda mempunyai beberapa minit untuk berkongsi pengalaman anda bersamanya?”
Selepas itu, dengar dengan teliti, bukan sahaja apa yang dikatakan, tetapi juga bagaimana ia dikatakan. Respons yang bersemangat adalah tanda yang baik. Keraguan, jawapan yang samar-samar, atau nada yang terasa janggal apabila nama pengasuh disebut, semuanya isyarat yang patut anda perhatikan dan tanya soalan susulan.
Pada penghujung panggilan, tinggalkan nombor anda dan tanya kalau ada apa-apa lagi yang mereka ingin kongsi. Kadang-kadang, benda paling penting diluahkan setelah semua soalan formal dah selesai.
Soalan yang boleh anda tanya rujukan pengasuh
Ini antara soalan paling berguna yang boleh anda tanya semasa menghubungi rujukan:
- Berapa lama pengasuh bekerja dengan keluarga anda?
- Berapakah umur kanak-kanak yang dijaganya? Jika anda memerlukan pengasuh untuk bayi, penting untuk cari seseorang yang memang dah biasa dengan bayi.
- Adakah pengasuh sentiasa tepat pada masa dan boleh dipercayai? Pernahkah mereka membatalkan dengan notis singkat?
- Bagaimana pengasuh mengendalikan situasi sukar? Contohnya, si kecil yang tidak mahu tidur, kecederaan, atau anak yang tiba-tiba meragam?
- Adakah pengasuh mematuhi peraturan dan rutin rumah anda?
- Mengapa pengasuh berhenti bekerja dengan keluarga anda?
- Berdasarkan pengalaman anda, adakah anda akan mengesyorkan mereka?
Soalan terakhir itu adalah yang paling penting. Jawapannya dan cara ia diluahkan boleh bagi anda gambaran yang hampir lengkap tentang pengasuh tersebut.
Tanda amaran yang perlu diperhatikan
Kebanyakan semakan rujukan berjalan lancar. Tetapi berikut adalah tanda-tanda yang wajar diambil serius:
- Rujukan tidak dapat berikan contoh spesifik dan hanya bercakap dalam nada yang terlalu umum.
- Ada keraguan atau ketidakselesaan apabila nama pengasuh disebut.
- Rujukan tidak menjangka panggilan anda dan kelihatan terkejut kerana disenaraikan.
- Pengasuh enggan memberikan rujukan atau hanya menawarkan kenalan dari kalangan keluarga sahaja.
- Apa yang diceritakan oleh rujukan tidak sepadan dengan apa yang pengasuh katakan semasa temu duga.
- Pengasuh mempunyai banyak pengalaman, tapi tidak dapat berikan sebarang rujukan langsung.
Masing-masing satu tanda mungkin tidak cukup untuk buat keputusan. Tapi kalau beberapa tanda hadir serentak, itu petanda yang tidak patut dipandang ringan.
Apa lagi yang perlu anda semak?
Rujukan memberitahu anda banyak tentang watak dan pengalaman seseorang. Tapi untuk lapisan kepercayaan yang lebih kukuh, anda boleh juga minta pengasuh tu tunjukkan sijil rekod jenayah. Kebanyakan pengasuh yang serius dalam kerja mereka tidak akan terkejut dengan permintaan ini. Di Malaysia, anda boleh mohon Sijil Kelakuan Baik melalui Kementerian Luar Negeri untuk tujuan ini.
Kalau anda dah ada di profil media sosial pengasuh untuk cari kenalan bersama, ambil masa sekejap lagi untuk tengok posting dan aktiviti umum mereka. Anda bukan nak menilai kehidupan peribadi mereka, sekadar nak dapat gambaran lebih luas tentang siapa mereka. Kebanyakan masa, tak ada apa yang membimbangkan. Tapi ia hanya ambil lima minit dan ia memang berbaloi.
Rujukan memberi anda gambaran yang lebih menyeluruh tentang siapa sebenarnya yang akan hadir dalam kehidupan anak anda. Gunakan peluang ini sepenuhnya, tanya soalan yang betul, dan percayai apa yang anda dengar, termasuk kesunyian yang kadang-kadang lebih bermakna daripada kata-kata itu sendiri.
Isi kandungan
Soalan Lazim
Fokus pada perkara yang spesifik, berapa lama mereka bekerja bersama, macam mana pengasuh tangani situasi yang sukar, sama ada mereka boleh dipercayai, dan sama ada keluarga tersebut akan menggunakan mereka lagi. Jawapan yang samar dan umum wajar diikuti dengan soalan lanjutan.
Kalau mereka baru dalam bidang pengasuhan, itu memang normal. Minta rujukan watak sebagai gantinya, seperti guru, mentor, atau bekas majikan adalah pilihan yang baik. Luangkan lebih masa untuk temu duga dan pertimbangkan sesi percubaan sebelum tinggalkan mereka bersendirian dengan anak-anak anda.
Boleh. Ulasan daripada ibu bapa lain terpapar terus pada profil setiap pengasuh di Sitly, jadi anda dah ada gambaran awal sebelum membuat sebarang panggilan.
Dapatkan pengasuh yang boleh dipercayai
Perlukan bantuan jagaan anak yang cepat dan mudah? Sitly memudahkan anda mencari pengasuh dipercayai di kawasan anda. Daftar hari ini dan lihat siapa yang tersedia.